Oleh : Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Terengganu berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan 4.7 juta batang rokok.
Kegiatan penyeludupan itu dipatahkan menerusi serbuan yang dilakukan di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu, tiga hari lalu.
Ketika serbuan dilakukan, lapan suspek dipercayai dapat meloloskan diri di hutan nipah berdekatan lokasi serbuan.
Pengarah Kastam Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, aktiviti penyeludupan rokok itu menggunakan sebuah bot sebelum diangkut menggunakan dua buah lori.
Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM564,000 yang melibatkan cukai RM3,158,400.
Dua buah lori dan bot yang dirampas pula dianggarkan bernilai RM100,000.
Rokok seludup terbabit dipercayai dibawa dari negara jiran untuk pasaran di Terengganu dan Lembah Klang.
Jelasnya, trend penyeludupan rokok dikesan semakin aktif di perairan Terengganu selepas Kelantan.
Bagaimanapun, pihak Kastam secara agresif bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain memantau dan membanteras kegiatan penyeludupan.
“Kalau trend kita tengok pantai Terengganu paling panjang itu memberi kelebihan pada penyeldup bagaimanapun pihak jabatan mengambil tindakan agresif untuk cegah aktiviti penyeludupan di sepanjang pantai di sini”, ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.