comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup 2,500 karton minuman keras

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan minuman keras tidak bercukai yang dirampas di Kilometer 1, Jalan Lama Papar – Penampang. FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk minuman keras menggunakan jalan darat ke daerah ini gagal apabila kegiatan berkenaan berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Rampasan dilakukan di Kilometer 1, Jalan Lama Papar – Penampang, Kampung Novuong, di sini kira-kira jam 11 malam, 12 Jun lalu, oleh pasukan serbuan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

Semua minuman keras dipercayai dari Labuan yang dibawa masuk menggunakan sebuah lori rigid itu dianggarkan bernilai lebih RM347,223 termasuk duti dan cukai.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan operasi menahan sebuah lori rigid.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 2,500 karton minuman keras disusun di bawah 30 tong biru yang disyaki cuba mengelak cukai dan duti untuk pasaran tempatan.

“Pasukan operasi turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati, semua minuman keras berkenaan cuba disembunyikan di bawah tong biru berkenaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dan minuman keras pelbagai jenama itu dianggarkan sebanyak RM451,223 termasuk duti serta cukai.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak cukai,” katanya.

Katanya lagi, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

Orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini