Tumpuan :
Jenayah

Kastam Kelantan rampas rokok putih guna setem cukai palsu bernilai RM4.2 juta

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 6.2 juta batang rokok putih yang mengguna setem cukai palsu dianggarkan bernilai RM4.2 juta dalam dua lokasi berasingan.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata rampasan pertama disyaki rokok seludup itu dilakukan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, manakala rampasan kedua pula di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

Katanya, secara keseluruhannya jumlah rampasan itu bernilai RM696,564 dengan anggaran cukai RM4.2 juta.

Beliau berkata, dalam operasi pertama pada 4 November lalu, bertindak atas maklumat awam lebih kurang jam 3.30 petang, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu, JKDM Kelantan dan dibantu Container Control Unit Pelabuhan Klang, Selangor menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pada kontena itu menemui 600 peti rokok putih atau enam juta batang rokok yang dipercayai untuk diimport ke pasaran Sri Lanka.

“Modus operandi adalah mengikrar dagangan dalam Bill of Lading (BL) dengan maklumat Port of Discharge di Pelabuhan Klang serta menggunakan perkhidmatan penghantaran secara kargo,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, sindiket berkenaan menggunakan laluan jalan laut, dimana mereka masuk dari Kemboja dan transit di negara kita sebelum bekalan rokok berkenaan dihantar ke negara ketiga iaitu, Sri Lanka.

“Walaupun bagaimanapun, tidak ada tangkapan yang dibuat dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi kedua yang dilakukan pada 10 November lalu, JKDM Kelantan turut menahan tiga van di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga van ini terdapat peti-peti rokok putih berjumlah 254,800 batang dengan nilai RM36,564 yang disyaki menggunakan setem cukai palsu.

“Modus operandi adalah menggunakan setem cukai palsu bagi mengelak fraud (penipuan) terhadap apa-apa duti atau larangan ke atasnya dan rokok putih berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar melalui jalan darat menggunakan lori untuk pasaran Pantai Timur khususnya Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu van yang berusia di antara 30 hingga 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini