comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kastam Kedah tahan lelaki warga Thailand, rampas 14,000 pil Methamphetamine

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi, Jabatan Kastam Negeri Kedah menahan seorang lelaki warganegara Thailand pada 6 Mac lalu.

Penahanan dilakukan apabila lelaki itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi, sekitar jam 2.30 petang.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Nor Izah Abd Latiff menjelaskan pemeriksaan kemudiannya menemukan satu bungkusan berwarna biru, mengandungi 11,600 biji pil Methamphetamine.

“Dadah ini dianggarkan seberat 1,102 gram. Lelaki itu kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Langkawi untuk siasatan lanjut.”

“Pemeriksaan rapi terhadap suspek, kemudian membawa kepada penemuan 2,400 biji pil dadah sama, seberat 228 gram dalam beg pinggang suspek. Jumlah keseluruhan tangkapan adalah sebanyak 14,000 biji pil Methamphetamine seberat 1,330 gram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM210,000,” katanya.

Suspek menggunakan modus operandi melalui kawasan pemeriksaan Kastam tanpa bagasi dalam cubaan mengaburi pihak Kastam.

“Andaiannya adalah, dengan hanya membawa bungkusan barangan untuk kegunaan sendiri secara ‘hand carry’, tidak akan diperiksa oleh pihak Kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk negara.”

Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 14,000 orang penagih dadah.

Ujian saringan air kencing telah dilakukan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek telah ditahan reman selama 7 hari sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini