Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Sebuah kapal tunda dan lori tangki masing-masing dengan muatan minyak diesel 40,000 liter dan 10,000 liter telah berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu dalam serbuan yang dijalankan di sebuah jeti berdekatan Sungai Kuang, Chukai, Kemaman.
Serbuan dilakukan jam 2.00 pagi tadi, hasil risikan yang dilakukan selama sebulan lalu.
Hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda.
Sebuah kapal tunda dan lori tangki masing-masing dengan muatan minyak diesel 40,000 liter dan 10,000 liter telah berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu dalam serbuan yang dijalankan di sebuah jeti berdekatan Sungai… pic.twitter.com/f0c5yoIpl2
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 9, 2024
Minyak tersebut kemudiannya akan dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kapal dan lori tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel.
Dianggarkan semasa serbuan dijalankan terdapat lebih kurang 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal tunda ke lori tangki
menggunakan paip saluran getah.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM863,500.00.
Empat orang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 ke 40an dan seorang warganegara Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa