comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kantoi seludup minyak masak, pemandu lari ke dalam semak

Sebanyak 595kg minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,487.50 ditemukan dalam kereta jenis Proton Saga BLM selepas ditinggalkan pemandunya di Kampung Telaga Bata. – Foto: Ihsan KPDN

TUMPAT: Lelaki dipercayai penyeludup yang membawa muatan minyak masak memecut kenderaannya sejauh 20 kilometer (km) sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.

Pemandu bertindak melarikan diri ke dalam semak selepas Proton Saga yang memasuki kawasan kampung di Telaga Bata, di sini, menemui jalan mati.

Terdahulu, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mengesan kenderaan itu di Lundang, Kota Bharu pada 9 malam tadi.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kereta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan menghala ke Tumpat.

Sebaik pemandunya menyedari diekori, dia memecut laju kenderaannya bermula dari Pasir Pekan sehingga ke Kampung Telaga Bata iaitu sejauh kira-kira 20km.

“Sebaik memasuki kampung itu, pemandu bertindak meninggalkan kenderaannya kerana gagal mencari jalan keluar dan melarikan diri ke semak berhampiran.

“Pemeriksaan dalam kenderaan menemui beberapa kotak mengandungi 595 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM1,487.50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kesemua minyak masak bersubsidi itu dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor bagi tujuan penyeludupan ke Thailand.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Loading...
Terkini