Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Kegiatan penjualan data milik sebuah agensi kerajaan, terbongkar dengan penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun.
Aktiviti suspek itu berjaya dikesan hasil kecekapan Unit Siasatan Jenayah Crytocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil siasatan, suspek disyaki menjual data-data milik agensi kerajaan di laman sesawang ‘darkweb’.
“Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak USD 200 untuk setiap set data dan pembayaran adalah dalam bentuk matawang kripto.
“Kita telah tahan, dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember lalu sementara siasatan dilengkapkan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.
Dalam pada itu, JSJK telah membuka sebanyak 40, 350 kertas siasatan melibatkan nilai kerugian RM 2.11 bilion, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.
Kes-kes penipuan atas talian yang disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan mencatatkan kes tertinggi sebanyak 34, 497 kes.
Pada tahun 2023, jumlah kes penipuan atas talian meningkat sebanyak 35.4% berbanding 25, 474 kes pada tahun 2022.