comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kanak-kanak lima tahun pulang dari sekolah maut dirempuh van


PASIR GUDANG: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dirempuh sebuah van di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Kejadian berlaku 11.35 pagi ketika pemandu van iaitu seorang wanita berusia 50 tahun menurunkan mangsa dan abangnya berusia enam tahun yang juga murid prasekolah di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata pemandu van meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu menerusi bahagian belakang van.

Menurutnya, pemandu yang beranggapan kanak-kanak perempuan itu turut mengekori abangnya mula bergerak sebelum merempuh kanak-kanak itu yang lalu di hadapan van.

“Pemandu kemudian turun untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masai untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan merbahaya.

Katanya, pemandu van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini