CHUKAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di muka dan dahi selepas dipukul seorang buruh lelaki dalam kejadian di sebuah kampung di daerah ini, semalam.
Sebelum kejadian, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menceritakan kepada keluarganya, dia diliwat kanak-kanak lelaki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata berikutan itu, keluarga kanak-kanak berusia enam tahun dipercayai memanggil kanak-kanak lelaki sembilan tahun itu ke rumah mereka.
Menurutnya, polis menerima satu laporan daripada kakak kanak-kanak lelaki sembilan tahun yang membuat laporan di balai polis kira-kira jam 5.45 petang.
“Kakak-kanak lelaki sembilan tahun itu mendakwa adiknya memaklumkan kepadanya dia dipukul dan diugut bapa saudara jiran ketika berada di rumah jirannya itu.
“Susulan laporan itu, polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai buruh kira-kira jam 12.20 awal pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Hanyan berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya didapati negatif dadah.
“Siasatan awal, suspek tidak mengaku memukul kanak-kanak lelaki sembilan tahun itu dan suspek mendakwa cuma memarahi dan meletakkan lada di mulut.
“Kanak-kanak lelaki sembilan tahun itu juga dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Hanyan berkata, polis turut menerima laporan daripada kanak-kanak berusia enam tahun yang mendakwa diliwat, kira-kira jam 9 malam tadi.
“Siasatan lanjut sedang kita jalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 kanun keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.