JOHOR BAHRU: Empat individu termasuk dua wanita direman empat hari bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di Pusat Perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri di sini, Sabtu lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Johor Bahru Suhaili Sapun.
Empat suspek masing-masing berumur 28 hingga 55 dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis.
Dua suspek lelaki yang berpakaian lokap berwarna jingga dan ungu tiba jam 8.45 pagi diiringi anggota polis.
Manakala, dua suspek wanita tiba 10 minit kemudian dengan pakaian lokap warna jingga dikawal ketat anggota polis.
Tiga suspek ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri jam 1.30 petang semalam bagi membantu siasatan.
Manakala suspek wanita keempat berumur 40-an ditahan sekitar Johor Bahru malam tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
Kehilangan mangsa Albertine Leo Jia Hui hanya disedari bapanya yang berniaga di tapak festival pusat perniagaan itu kira-kira jam 8.30 malam hari tiga hari lalu sebelum membuat laporan polis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa