Tumpuan :
Jenayah

Kanak-kanak 4 tahun antara 25 PATI ditahan

Foto: Ihsan IPD Kuala Langat

SHAH ALAM: Cubaan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun untuk keluar dari negara ini menggunakan jalan yang tidak diwartakan, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Klang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata semua PATI itu serta dua tekong ditahan selepas bot kayu dinaiki mereka dipintas PPM di pantai Pulau Carey kira-kira jam 1 pagi.

Seramai 25 PATI termasuk kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun, ditahan ketika cuba keluar dari Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan, awal pagi tadi. – Foto: Ihsan IPD Kuala Langat

“Terdahulu bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota PPM Klang menuju ke lokasi bot disyaki membawa PATI dan bertindak memintas bot kayu jenis pom pom.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada 13 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam bot itu, yang mana kesemuanya gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan mereka.

“Hasil soal jawab, kesemua 25 warga asing berusia empat hingga 53 tahun itu mengaku ingin keluar dari negara ini menerusi jalan tidak diwartakan (jalan laut),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/1963, manakala dua tekong ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Loading...
Terkini