IPOH: Polis Perak sedia membantu siasatan kes pembunuhan guru, Istiqomah Ahmad Rozi yang mayatnya ditemukan tanpa kepala dalam tong sampah di Melaka sekiranya terdapat permintaan daripada polis kontinjen negeri itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata kerjasama itu bergantung kepada siasatan yang dijalankan oleh polis di kontinjen Melaka memandangkan suspek ditahan di Chemor, Perak.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada sebarang permintaan dari Polis Kontinjen Melaka bagi tujuan itu.
“Setakat ini dia (suspek) di Melaka dan kita bergantung kepada pegawai penyiasat sana. Kalau pegawai penyiasat sana ada ‘greet’ (menyapa) kepada (polis) di negeri Perak kita akan membantu.
“Tetapi sehingga kini kita belum lagi, belum lagi (diminta bantuan) di bawah siasatan Polis Melaka, jadi kita tunggulah pegawai yang menyiasat itu nanti kalau dia ‘lead’ (menjurus) katakan dia (mangsa) pernah berada di Perak, maka masa itu kita bantu.
“Sehingga kini belum ada lagi,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi Bulan Ogos 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilapor berkata, polis menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu dan direman enam hari sehingga semalam susulan pengesahan identiti mayat yang dijumpai tanpa kepala pada Disember 2023 adalah Istiqomah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.