comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kamera intip di inap desa: Suspek bebas dengan jaminan polis

GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan reman kerana disyaki mengintip seorang wanita menerusi kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong di sini, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, berkata suspek beusia 20an itu dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman selama empat hari yang dikenakan terhadapnya tamat hari ini.

Beliau memaklumkan, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan akan dimajukan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

“Polis telah merekodkan keterangan daripada sembilan individu bagi membantu siasatan kes ini. Kita akan tunggu arahan lanjut daripada DPP selepas hantar kertas siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Media pada Ahad lalu melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita, mendakwa diintip menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, di sini baru-baru ini.

Difahamkan, lelaki terbabit merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan dipercayai turut menginap di inap desa yang sama bersama beberapa lagi rakan mereka pada 5 hingga 6 Februari lalu.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita menerusi hantaran di aplikasi X menyifatkan percutiannya tidak ubah seperti mimpi ngeri apabila menemukan sebuah kamera intip disembunyikan dalam bekas pewangi ketika sedang mandi di sebuah inap desa di Pulau Pinang.

Loading...
Terkini