BAYAN LEPAS: Seorang jurutera kilang ditahan selepas didapati merakam video di dalam tandas wanita di tingkat satu sebuah kompleks perniagaan di Lengkok Mayang Pasir, Bayan Baru, di sini, semalam.
Kegiatan lelaki berusia 27 tahun itu dikesan pengawal keselamatan kompleks perniagaan itu kira-kira 10.30 malam sebelum menahan dan menyerahkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengurus bangunan berusia 37 tahun.
Katanya, suspek dikatakan beberapa kali mengulangi perkara sama di tandas wanita itu sebelum laporan polis dibuat kerana bimbang dengan keselamatan pekerja.
“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek juga pernah memasuki tandas wanita berkenaan pada 26 Jun dan Rabu lalu.
“Hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit suspek menemukan empat gambar wanita tanpa pakaian di dalam tandas dan satu video dengan gambar sama berdurasi dua saat bertarikh 21 Jun, selain gambar serta video lucah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, siasatan juga mendapati suspek melakukan perbuatan itu bagi tontonan sendiri.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 8 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa