Tumpuan :
Jenayah

Juruteknik rugi lebih RM130,000, diperdaya wanita dakwa ada penyakit

MUAR: Niat baik seorang juruteknik untuk membantu wanita baru dikenali yang kononnya mengalami penyakit berakhir dengan kerugian lebih RM130,000 selepas diperdaya individu tersebut.

Mangsa lelaki berusia 35 tahun mendakwa mengenali suspek wanita selepas melayari laman sosial pada Mei tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa kemudiannya menghantar pesanan melalui WeChat untuk mengenalinya lebih mendalam.

Katanya, sepanjang perkenalan itu, mangsa kerap mendengar luahan suspek yang menyatakan berdepan masalah kewangan disebabkan penyakit dihidapinya.

“Suspek memberitahu dia memerlukan kewangan untuk menjalani rawatan berkala. Disebabkan percayakan kata-kata suspek, mangsa dengan rela menghulurkan bantuan kepadanya.

“Pada 6 Jun tahun lalu, mangsa melakukan transaksi ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM132,970.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut meminta bantuan wang tunai namun tidak diendahkan kerana mulai curiga dan sedar dirinya sudah ditipu,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini