Tumpuan :
Jenayah

Juruteknik, peniaga masing-masing ditipu lebih RM100,000

JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik kerugian lebih RM172,000 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan saham palsu dalam talian yang menjanjikan keuntungan sehingga 400 peratus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki tempatan berusia 44 tahun itu terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Katanya, pada 2 November lalu, mangsa menerima mesej daripada seorang wanita yang mengaku sebagai perunding pelaburan saham menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek mengajak mangsa untuk menyertai pelaburan dan menjanjikan pulangan sebanyak 400 peratus selepas tempoh matang selama dua bulan.

“Mangsa diberi pautan untuk menyertai kumpulan WhatsApp pelaburan dan diminta memuat turun aplikasi pelaburan, dan kemudian diminta mengisi maklumat peribadi dan perbankan.

“Mangsa terpedaya dengan keuntungan besar dan melakukan 13 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza antara 5 November hingga 13 Disember, dengan keseluruhan RM172,000.

“Mangsa mula menyedari ditipu apabila usaha mengeluarkan keuntungan pelaburan gagal dan diminta membayar tambahan RM620,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Raub berkata seorang peniaga kedai makan juga kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham palsu melalui laman sosial Facebook.

Katanya wanita berusia 48 tahun, mendakwa menerima mesej WhatsApp dari suspek lelaki, pada 6 November lalu yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan berganda.

“Mangsa telah menyerahkan butiran akaun bank dan kata laluan perbankan kepada suspek bagi tujuan pembayaran pelaburan.

“Pada 29 November hingga 16 Disember, mangsa membuat lapan transaksi ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM100,000.

“Mangsa menyedari ditipu selepas panggilan telefon kepada suspek tidak dijawab dan nombornya disekat,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini