Tumpuan :
Jenayah

Juruhias majlis dicekup bersama 25kg dadah

 

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang juru hias majlis bersama lebih 25 kilogram (kg) dadah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan jam 12 tengah hari kelmarin susulan serbuan polis di sekitar Cheras, dan Kajang, Selangor.

“Dalam serbuan awal, polis merampas 22.67 kg dadah kanabis dan 27.76 gram (g) erimin 5 di dalam kenderaan model Honda Insight milik suspek.

“Susulan itu, polis melakukan serbuan kedua di Kajang dan menemui 4.29 kg dadah kanabis dianggarkan bernilai RM13,299 selain merampas dua kenderaan mewah model Toyota Alphard dan Mini Cooper.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini,” katanya tadi.

Beliau berkata, suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada pengedar lain di sekitar ibu negara sebelum diedarkan di sekitar kawasan Cheras, di sini.

Katanya, suspek menjadikan sebuah kondominium mewah yang berpengawal keselamatan sebagai stor simpanan dadah bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

“Suspek bekerja sendiri sebagai juru hias majlis dipercayai menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam disalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Ravindar berkata, keseluruhannya polis merampas 24.96 kg kanabis, 27.75 g pil erimin 5 bernilai RM77,947, wang tunai RM3,000 dan tiga kenderaan mewah.

“Suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini