comscore
Tumpuan :
Jenayah

Judi atas talian, 423 ditahan di Johor

Polis Johor menjalankan Op Dadu Khas untuk membanteras aktiviti judi atas talian di seluruh negeri ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis menahan 423 individu dalam Op Dadu Khas yang dijalankan bagi memberi tumpuan untuk membanteras aktiviti judi atas talian di seluruh negeri ini sejak awal tahun ini hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan pihaknya memberi fokus kepada premis-premis yang disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan dan semua yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, selain serbuan, tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen ke atas premis-premis yang terbabit turut dilakukan.

“Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 406 premis diserbu dan diperiksa. Hasil serbuan itu, seramai 423 orang ditahan yang mana daripada jumlah itu, 415 adalah penjaga premis, manakala lapan lagi adalahpemain.

“Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas 451 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh tablet, empat komputer riba dan want tunai berjumlah RM59,143,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, sebanyak 40 premis juga sudah mendapat kelulusan bagi diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain itu, katanya, sebanyak 13 premis pula mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala empat premis dalam proses permohonan.

“Bagi tangkapan ke atas individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka,” katanya.

Loading...
Terkini