comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jual rempah guna sijil halal luput 8 tahun

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Sijil halal bagi produk rempah ratus tamat tempoh 8 tahun lalu, namun masih menggunakannya untuk mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, tindakan pemilik kilang memproses rempah ratus di Permatang Tinggi, di sini, akhirnya membawa padah apabila premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.

Pengarah KPDN negeri, Jegan Subramaniam berkata serbuan dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) hasil pemantauan kedua-dua pihak terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati sijil halal yang dikeluarkan untuk pemilik kilang rempah ratus itu telah tamat pada 31 Mac 2016.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut disyaki masih menggunakan Logo Halal Malaysia pada 2498 bungkus mengandungi pelbagai rempah ratus walaupun sijil halal telah tamat tempoh sah sejak tahun 2016.

“Penyitaan telah dilakukan dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12,490.00,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan itu diambil mengikut Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau 3 tahun penjara atau kedua duanya sekali.

“Pemilik berkenaan didapati sengaja menggunakan pembungkusan mengandungi logo halal sedangkan dia mempunyai pilihan untuk menjual rempah tersebut tanpa logo halal.

“Penyalahgunaan logo halal dan sijil halal berkenaan boleh mengelirukan pengguna terutama bagi pelanggan beragama Islam,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini