comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jual mercun tanpa permit, 9 individu ditahan

Sembilan individu ditahan bersama mercun bernilai RM30,000 yang dirampas dalam serbuan sekitar Kota Tinggi. – Foto ihsan Polis

KOTA TINGGI: Dua warga Indonesia antara sembilan individu ditahan kerana menjual mercun tanpa permit dalam beberapa serbuan berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata dalam serbuan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam itu, pelbagai jenis mercun bernilai RM30,000 dirampas.

Semua yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 50 tahun selepas semakan mendapati masing-masing tidak mempunyai permit untuk menjual mercun dan bunga api daripada pihak berkuasa.

“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau kes jenayah dan seorang berstatus orang dikehendaki bersabit kes jenayah komersial,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan.

Dua dua lelaki warga Indonesia yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Loading...
Terkini