comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jual aksesori tiruan di sebalik syarikat aksesori asli

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli tetapi menjual aksesori telefon bimbit tiruan.

Taktik itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan serbuan ke atas 14 premis berasingan di 9 negeri minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang kerana disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit disyaki tiruan pada minggu lalu.

Menurutnya, operasi dilakukan secara bersepadu oleh anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama pejabat KPDN Negeri, hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal yang dilakukan.

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli melibatkan pemilikan syarikat yang sama di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pegawai penguat kuasa menemukan sejumlah 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua aksesori telefon bimbit tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000.

Azman berkata, 13 kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika disabitkan kesalahan, suatu pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau RM30,000 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.

Manakala bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM20,000 bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, menurut Azman, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

“KPDN ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ianya merupakan suatu kesalahan yang serius.

“Pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara serta dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna itu sendiri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini