KUALA LUMPUR: Masukkan dadah methamphetamine dalam tong pengemulsi kek kemudian dikedapkan untuk dieksport ke luar negara.
Itu taktik sindiket pengedaran dadah yang menggunakan modus operandi baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sebelum ia ditumpaskan dalam dua operasi berasingan di Lembah Klang membabitkan nilai rampasan dadah bernilai RM19.58 juta dan empat tangkapan termasuk warga Thailand.
Selain itu, ada juga sindiket membungkus dadah itu dengan bungkusan epal merah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan jam 10.30 malam kelmarin, JSJN melancarkan serbuan di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong dan menahan seorang lelaki serta dua wanita warga Thailand berusia 22 hingga 24 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan di ruang tamu rumah menemui 250 bungkusan disyaki dadah methamphetamine seberat 255.5 kilogram (kg) bernilai RM8.17 juta.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan rumah itu sebagai tempat penyimpanan dadah dan tempat pembungkusan semula sebelum diedarkan untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Dalam serbuan itu turut menemui 125 tong ovallet (pengemulsi kek) yang digunakan sindiket dengan menyembunyikan dua bungkusan dadah methamphetamine ke dalamnya sebelum dikedapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Kok Chin berkata, dalam satu operasi lain pula, JSJN menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian KIP, Kepong jam 8 malam kelmarin dan menahan lelaki berusia 32 tahun sebagai penjaga stor dan ‘transporter’ sedang memunggah guni dari dalam kereta Perodua Ativa.
“Pemeriksaan lanjut menemui 350 paket bertulis epal merah disyaki dadah methamphetamine seberat 357.6 kg bernilai RM11.4 juta.
“Siasatan mendapati premis itu baru disewa empat hari dan aktif sejak awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua sindiket ini mula aktif awal tahun ini dan semua mereka direman seminggu bermula semalam hingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.