comscore
Tumpuan :
Jenayah

JSJK serbu pusat panggilan penipuan mata wang kripto, 21 individu ditahan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Seramai 21 individu ditahan apabila pusat panggilan penipuan mata wang kripto yang beroperasi di dua kediaman banglo mewah di ibu negara diserbu Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata seorang daripada 21 orang itu merupakan warga tempatan.

Katanya, 17 daripada individu ditahan merupakan warga China manakala selebihnya dari Hong Kong, Laos dan Myanmar.

Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun dan dipercayai bekerja sebagai ejen perkhidmatan pelanggan pusat panggilan berkenaan.

“Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pekerja khidmat pelanggan di pusat panggilan terbabit.

“Manakala seorang warga tempatan ditahan adalah berperanan sebagai penjaga atau ‘runner’ di pusat tersebut,” katanya dalam satu sidang media di pejabat JSJK di sini hari ini.

Individu yang ditahan berperanan mencari mangsa melalui media sosial seperto Tinder dan 9monster.

Mangsa yang terpedaya kemudian diajak untuk melabur melalui aplikasi Bitbank dan CoinCheck.

“Sasaran sindiket ini adalah mangsa dalam kalangan warga Jepun,” katanya.

Siasatan mendapati pusat panggilan berkenaan baru memulakan operasi kurang dari sebulan.

Ahli sindiket terbabit masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial dan dibayar gaji dalam bentuk komisen iaitu sebanyak 20 peratus daripada wang yang berjaya ditipu.

Mengulas mengenai kediaman sindiket berkenaan, ia digunakan kerana mempunyai dua lapisan pagar tinggi dan terletak jauh dari jalan utama bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada diketahui pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini