KUALA LUMPUR: Polis memantau sindiket global yang menipu mangsa melalui pelbagai skim penipuan, termasuk skim pelaburan mata wang kripto.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan dikenali sebagai ‘Pig Butchering Scam’ setakat ini dilaporkan membabitkan kerugian AS75 bilion (RM352.69 bilion).
Beliau berkata, penipuan yang pelbagai ini digabungkan dan digelar sebagai ‘Pig Butchering Scam’ kerana ia merujuk kepada amalan penternak yang membesarkan seekor khinzir sebelum ia disembelih.
“Secara signifikan, penipuan berkembang dengan pesat dan menjadi kebimbangan global.
“Sindiket dikesan beroperasi di Asia Tenggara dengan menjadikan tapak bekas kasino sebagai markas operasi dan sindiket dikesan beroperasi di sebuah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Datuk Seri Ramli berkata, bagi menangani dari merebak ke negara ini, pihaknya bekerjasama dengan agensi di luar negara terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Polis Antarabangsa (Interpol) serta negara di Asia Tenggara.
“JSJK juga dijemput untuk menyertai UNODC Emergency Response Network (ERN) yang berpangkalan di Bangkok, Thailand. ERN adalah agensi yang ditubuhkan bertujuan untuk menangani masalah pemerdangan manusia membabitkan ‘Pig Butchering’ di negara Asia Tenggara.
“ERN juga akan menjadi platform perkongsian maklumat serta kerjasama risikan antara penguat kuasa di negara-negara anggota.
“Selain itu, mesyuarat berkala antara pihak UNODC, wakil JSJK dan juga penguat kuasa dari negara Asia Tenggara dijangka akan diadakan pada Mei, Julai, Oktober tahun ini dan Januari 2025,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.