Tumpuan :
Jenayah

JKDM patahkan cubaan seludup 7.108 kg dadah ke Sarawak

Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas kotak bungkusan membawa kepada penemuan dadah jenis ganja yang dibungkus dengan pembalut coklat, kerajang aluminium dan bungkusan plastik.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja seberat 7.108 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM244,340 ke Sarawak.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, kejayaan itu susulan dua serbuan oleh Cawangan Narkotik JKDM Sarawak di sebuah premis perkhidmatan kurier di Jalan Song di sini pada 3 Februari lalu.

“Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas kotak bungkusan tersebut membawa kepada penemuan dadah berbahaya jenis ganja yang dibungkus dengan pembalut coklat, kerajang aluminium dan bungkusan plastik.

“Jumlah keseluruhan dadah berbahaya jenis ganja yang dirampas dianggarkan seberat 4,926 gram dengan anggaran nilai sebanyak RM147,780,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi berasingan 10 minit kemudian di premis sama, anggota JKDM Sarawak turut menemui satu lagi bungkusan mengandungi dadah jenis ganja dianggarkan bernilai lebih RM96 ribu.

“Hasil pemeriksaan rapi telah menemukan lima bungkus dadah berbahaya jenis ganja yang dibungkus dengan pembalut coklat dan tiga dibungkus dalam kerajang aluminium dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 2,182 gram,” katanya.

Norizan berkata, modus operandi sindiket penyelupan terbabit menggunakan taktik menghantar dadah melalui perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dengan mengikrar bungkusan sebagai barang dagangan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini