KOTA BHARU: Sebanyak 2,460,000 batang rokok putih bernilai RM1.84 juta berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulai, Gua Musang, pukul 2.20 petang, semalam.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata bertindak atas maklumat yang diterima dan intipan dilakukan, rampasan dilakukan selepas pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu menyerbu sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan barangan seludup terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukannya menemui sejumlah 2,460,000 batang rokok putih yang dipercayai diseludup, dengan anggaran nilai sebanyak RM196,800 dan anggaran cukai sebanyak RM1,643,280,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Jamal berkata modus operandi yang digunakan sindiket terbabit ialah menyimpan stok rokok di rumah tidak bernombor, sebelum diagihkan kepada pelanggan untuk pasaran tempatan dan luar negeri.
“Kesemua rokok putih ini dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan-pelabuhan tempatan sama ada di pantai barat sebelum disimpan di dalam rumah tidak bernombor dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Rokok diklasifikasi sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Wan Jamal berkata jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh (20) kali nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya. – BERNAMA