comscore
Tumpuan :
Jenayah

JKDM Kelantan rampas 3kg ganja di pusat kurier

Ganja yang dirampas JKDM Kelantan di sebuah pusat kurier di Rantau Panjang. – Foto ihsan JKDM Kelantan

KOTA BHARU: Ganja dalam bungkusan seberat 3.007 kilogram (kg) yang dianggar bernilai RM7,517.73 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sebuah pusat kurier di Rantau Panjang.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum membuat pemeriksaan di pusat kurier berkenaan pada Isnin minggu lalu sebelum menemukan bungkusan berisi daun ganja.

Katanya, bungkusan berisi ketulan mampat daun ganja kering itu yang disyaki untuk edaran tempatan dengan hanya meletakkan nama dan alamat penerima, namun tanpa maklumat pengirim.

Wan Jamal memaklumkan, siasatan kes berkenaan masih diteruskan bagi mengesan pemiliknya.

“Berdasarkan berat ganja yang dirampas, ia boleh diedarkan kepada lebih 15,000 penagih. Hasil siasatan juga mendapati dadah ini adalah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Untuk melaporkan aktiviti penyeludupan, boleh hubungi JKDM di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” kata Wan Jamal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini