Tumpuan :
Jenayah

JKDM dedah taktik baharu sindiket penyeludupan minuman keras.

FOTO : Pengarah Kastam Negeri Johor Misbahudin Parmin (tiga dari kiri) menunjukkan minuman keras yang cuba disorokkan dalam kontena yang dirampas JKDM Johor pada sidang media di Menara JKDM Johor di Johor Bahru

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, minuman keras berkenaan disorokkan di dalam kontena membawa muatan kotak air minuman berkarbonat.

Taktik itu berjaya dibongkar hasil serbuan penguatkuasaan JDKM di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 30 November lalu yang turut menyita tiga buah kontena bersaiz 6.6 meter kaki.

Hasil pemeriksaan mendapati barang import yang dipercayai dari negara China itu telah diikrarkan sebagai air minuman jus epal berkarbonat.

“Semasa pemeriksaan mendapati pada lima baris dagangan awal dalam setiap kontena adalah dagangan seperti yang diikrar dalam BL, manakala selebihnya adalah minuman keras yang disorok menggunakan kotak air dagangan yang diikrar dalam BL”.

“Sindiket telah menggunakan kotak minuman jus epal berkarbonat namun dagangan telah ditukar kepada arak dan terdapat pita pelekat pada setiap kotak yang mengandungi minuman keras berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara JKDM Negeri Johor di Johor Bahru, pagi tadi.

Dalam kes berasingan, Misbahudin berkata pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan merampas sejumlah minuman keras bernilai RM103,400 pada 1 Januari lalu.

Rampasan hasil serbuan di sebuah rumah sewa di Desa Cemerlang, Ulu Tiram yang dijadikan stor simpanan minuman keras berkenaan sebelum ia diedarkan untuk pasaran tempatan.

JDKM Johor juga berjaya mematahkan cubaan mengedar sejumlah rokok kretek bernilai RM1.2 juta termasuk cukai di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Pogoh Tengah, Segamat pada 1 Januari lalu.

Rokok berkenaan disorokkan di bawah kanvas itu didapati tiada setem cukai dan disyaki diseludup dari Indonesia.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

Loading...
Terkini