comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jabatan Penjara tubuh pasukan pencarian banduan lolos dari Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menubuhkan pasukan pencarian dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan banduan lelaki yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, semalam.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan, hari ini, mengesahkan banduan reman berkenaan melarikan diri ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan pada 3.30 petang, semalam.

“Lembaga Siasatan juga ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu. Sehingga kini, usaha pencarian sedang dilakukan dan diluaskan ke kawasan lain.

“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya.

Justeru itu, Jabatan Penjara Malaysia memohon kerjasama daripada orang awam sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai individu mencurigakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi Penjara Sungai Buloh di talian 03-61843333 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 untuk tindakan lanjut.“Jabatan Penjara Malaysia memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

Terdahulu polis sedang mengesan seorang banduan lelaki yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.56 petang, semalam.

Katanya, polis dimaklumkan bahawa banduan terbabit iaitu A Kalai Kumar, 27, disyaki melarikan diri selepas didapati tiada di katilnya di hospital itu.

Menurutnya, banduan berkenaan mempunyai lapan rekod membabitkan kes jenayah serta kesalahan narkotik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini