comscore
Tumpuan :
Jenayah

Isi petrol awal pagi, taktik kaburi pihak berkuasa

Sebanyak 27 tong plastik yang mengandungi 675 liter petrol ditemukan dalam kereta Toyota Corona yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran. Turut ditemukan petrol dalam tangki tambahan kenderaan itu. – FOTO: Ihsan KPDN Kelantan.

KOTA BHARU: Menyangkakan pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan di awal pagi, seorang lelaki bertindak membuat pengisian petrol dalam sejumlah tong plastik dengan tujuan untuk diseludup ke negara jiran.

Kegiatannya terbongkar apabila penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu stesen minyak di Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, jam 3 pagi tadi.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata hasil risikan pihaknya mengesan pergerakan kenderaan jenis Toyota Corona dengan pemandunya dilihat membuat pengisian petrol berulang kali di premis itu.

“Pasukan kami membuat serbuan di premis terbabit dan hasil pemeriksaan menemui 27 tong plastik yang mengandungi 675 liter minyak petrol dan turut ditemukan dalam tangki tambahan di kereta terbabit,” katanya.

Menurut Azman, suspek juga mengakui membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM500 untuk pengisian petrol itu.

Azman berkata premis itu yang beroperasi 24 jam sudah dua kali dikenakan tindakan atas kesalahan sama sebelum ini.

Menurutnya lagi, suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Nilai rampasan barangan kawalan dianggarkan sebanyak RM11,383.75 termasuk kenderaan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala RM2 juta bagi perbadanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini