Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menjalankan siasatan kejadian kekasaran di hadapan pintu masuk sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pantai Timur membabitkan anggota polis.
Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jika salah laku dikesan dalam insiden itu, JIPS akan menjalankan siasatan malah jika dikatakan tohmahan juga akan disiasat untuk mengetahui betul ditohmah atau tidak.
Menurutnya, bagaimanapun jika siasatan ada unsur jenayah maka ia akan disiasat mengikut sudut jenayah sehingga membawa kepada pertuduhan.
“Ia berbeza dengan kesalahan tatatertib di mana mereka boleh dikenakan tindakan seperti surat amaran, denda dan jika buang kerja.
“Kita tidak akan berkompromi tetapi orang ramai juga perlu adil kepada polis di mana kita akan buat yang terbaik,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku satu kejadian kekasaran di hadapan pintu masuk sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada malam Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata insiden itu berlaku di sebuah negeri di Pantai Timur.
Beliau berkata, PDRM masih melakukan siasatan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal bersama bendera parti di badan dikasari dua individu di hadapan sebuah balai polis.
Video itu turut menunjukkan lelaki di atas motosikal ditumbuk oleh seorang individu, manakala seorang lagi menyeretnya turun dari motosikal dan dibawa menuju ke pekarangan balai.
Seorang lagi individu bertindak menaiki dan membawa motosikal mangsa ke balai.