comscore
Tumpuan :
Jenayah

[KEMAS KINI] Suspek lelaki warga asing mati ditembak dalam insiden berbalas tembakan

Foto tular

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SUBANG JAYA: Polis telah menembak mati seorang suspek lelaki warga asing berusia sekitar 30an dalam insiden berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor pada jam 6.59 petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek telah bertindak melepaskan sebanyak lima das tembakan apabila diarah memberhentikan kenderaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Buletin TV3 (@buletintv3)

Menurutnya lagi, suspek merupakan individu dikehendaki yang bergiat aktif dalam jenayah samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang.

“Dalam insiden kejar mengejar dua das tembakan telah mengenai kenderaan polis sebelum suspek berjaya ditumpaskan.

“Suspek bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes. Jumlah kerugian sebanyak hampir RM8 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mengulas lanjut, polis masih lagi memburu kira-kira 10 lagi suspek lain yang dipercayai terdiri daripada lelaki dan perempuan berasal dari negara sama.

Hasil siasatan, polis turut menemui sepucuk pistol jenis ‘revolver’ yang digunakan suspek sewaktu insiden tembakan.

Ditanya mengenai modus operandi suspek, kumpulan ini dikatakan menawarkan jualan barang kemas, pertukaran mata wang asing, serta beberapa pelaburan lain di media sosial.

“Suspek akan bertemu mangsa di hotel dan akan diarah ke lokasi seterusnya menaiki kenderaan bersama sebelum ahli kumpulan lain mula menyerang menggunakan senjata,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bukit Aman hasil risikan melibatkan kerjasama polis dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini