JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 47 warga asing termasuk seorang majikan lelaki warga tempatan dalam Ops Belanja dan Ops Kutip di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Operasi pada jam kira-kira 9.20 pagi itu adalah hasil risikan selama seminggu dijalankan JIM Negeri Johor selepas menerima maklumat awam mengenai kewujudan warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas yang sah di premis berkenaan.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, seramai 123 warga asing dan tempatan diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Dalam operasi ini, seramai 22 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia ditahan, selain 15 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang juga majikan sebuah premis dalam pasar raya terbabit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, dalam satu lagi operasi berasingan, seramai 62 warga asing ditahan di sebuah kilang serta 16 premis di lokasi ‘hotspot’ dekat Senai, antara jam 3.10 petang hingga 6.30 petang semalam.
“Seramai 197 individu diperiksa dan 62 daripada mereka ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 warga asing iaitu lima lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta empat lelaki warga Bangladesh yang ditahan di sebuah kilang.
“Manakala, di 16 premis ‘hotspot’, 105 individu diperiksa dengan 51 warga asing ditahan. Ia terdiri daripada 31 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, tujuh lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, empat lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga India dan seorang lelaki warga Nepal.
“Semua yang ditahan berusia antara 21 tahun hingga 49 tahun,” katanya.
“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.