BAU: Seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) maut dipercayai akibat dipukul oleh teman lelaki ibunya, pertengahan bulan lalu.
Mangsa berusia enam tahun itu dipercayai dipukul oleh suspek berusia 35 tahun antara 15 dan 17 Disember lalu menyebabkan ibu mangsa bersama anak perempuannya tidak lagi berani pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan, satu laporan polis dibuat pada 21 Disember.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya menangkap suspek berusia 35 tahun di sebuah tempat menjual komponen kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching dua hari lalu.
Soal siasat terhadap suspek mendapati dia telah memukul anak bongsu teman wanitanya itu sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji.
Mayat mangsa ditemui di dalam guni susulan penahanan suspek yang kemudian memandu polis ke lokasi mangsa dibuang.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, ibu mangsa yang berusia 34 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.