
Oleh: Hilmi Abdul Malik
SHAH ALAM: Polis telah merakam keterangan enam orang saksi berhubung dakwaan kes seorang guru yang mempunyai hubungan istimewa bersama anak muridnya berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Dengkil, Sepang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, polis juga telah merampas telefon bimbit milik mangsa dan suspek untuk tujuan siasatan.
“Polis telah rakam keterangan enam saksi iaitu mangsa, bapa mangsa, guru, dan juga murid. Polis telah rampas telefon bimbit milik suspek dan mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati, murid tersebut tidak mempunyai sebarang masalah disiplin di sekolah.
Malah mangsa dikatakan mempunyai prestasi yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Sementara itu, siasatan terhadap suspek mendapati, guru berkenaan telah berkhidmat selama lima tahun dan merupakan seorang duda yang mempunyai tiga anak.
Ditanya mengenai proses siasatan, Hussien memberitahu, ianya hampir selesai dan sedang menunggu laporan perubatan sebelum diserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum ini, bapa mangsa mendakwa guru lelaki berkenaan mempunyai hubungan luar biasa bersama anaknya.
Perkara itu selepas menyedari anak perempuannya kerap berhubung dengan guru berusia 30-an itu melalui aplikasi TikTok, Love8, dan WhatsApp dalam keadaan mencurigakan.
Menurut bapa mangsa, perbualan atau komunikasi antara kedua-dua pihak itu juga tidak mencerminkan hubungan seorang guru dan murid.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.