Oleh Zahir Senapiah
PONTIAN: Sindiket penyeludupan dadah rentas negara bernilai RM3.4 juta yang menjadikan rumah inap desa sebagai pusat transit tumpas apabila Polis Johor berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang tekong warga asing dalam serbuan di Pontian dan Tangkak, Johor, Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu menggunakan laluan laut bagi menyeludup masuk dan keluar dadah.
Katanya, kesemua suspek berumur diantara 23 hingga 53 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah inap desa di sekitar Pontian dan Tangkak pada 4 Mei lalu antara jam 8.45 malam hingga 10 malam.
“Bot yang digunakan sindiket untuk bawa ke luar negara ditahan dan disita melebihi RM100,000. Bot enjin yang digunakan ambil masa satu atau dua jam untuk sampai ke negara jiran bawa dadah tersebut. Harga dadah jika terlepas ke seberang nilai 3 kali ganda dari yang ada sekarang ini.
“Hasil risikan sejak Januari lalu, polis berjaya menahan seorang tekong warga asing berumur 53 tahun yang juga merupakan orang paling dikehendaki dinegaranya.
“Dalam serbuan itu, Polis juga berjaya merampas dadah jenis Syabu seberat 64.89kg dan 58,626 biji (17.58kg) pil ekstasi. Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM3.43 juta.”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati waega asing yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen sah.
“Aktiviti sindiket ini dipercayai telah aktif sejak Januari dan rumah inap desa itu telah disewa selama sehari untuk dijadikan pusat transit.
“Sindiket itu dipercayai menyeludup dadah ke negara jiran menggunakan laluan laut.
“Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 382 ribu 896 orang penagih.
“Polis turut menyita dua bot fiber, empat buah kereta sebuah motosikal serta wang tunai sebanyak RM1,790 dan S$21.”katanya.
Ujarnya, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, berdasarkan rekod bermula 1 Januari hingga 4 Mei tahun ini , pasukan JSJN Johor berjaya menumpaskan dadah bernilai RM14.19juta dan merampas sebanyak 1.00 tan dadah serta menyita harta sindiket sebanyak RM5.1juta.