Oleh Azizi Majid
JOHOR BAHRU: Polis Johor telah mengenalpasti enam pengikut ajaran sesat Suhaini Muhammad atau Si Hulk yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, identiti kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 30-an itu dikenalpasti berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial.
Beliau berkata, operasi mengesan suspek kini giat dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Kita gesa enam individu berkenaan menyerah diri bagi membantu siasatan atau kita sendiri akan cari mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, petang tadi.
Dua hari lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ bersama Polis Diraja Malaysia giat mengesan ahli kumpulan ajaran sesat itu yang menyebarkan rakaman video menghina Islam dan Nabi Muhammad.S.A.W.
Video menerusi aplikasi Tik Tok berdurasi seminit 17 saat itu tular dan memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad sebagai Tuhan.
Tegasnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.