KLANG: Taktik sindiket menyembunyikan kenderaan yang tidak mempunyai permit import (AP) terbongkar selepas Jabatan Kastan Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) menyerbu sebuah bangunan terbiar di sini, baru-baru ini.
Kegiatan itu dikesan dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini bermula 14 Disember lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, serbuan dilakukan berdasarkan hasil maklumat dan risikan berhubung dakwaan kewujudan tempat penyimpanan kenderaaan yang disyaki diimport tanpa AP.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 10 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM962,838 termasuk cukai dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan ini disyaki telah disimpan melebihi tempoh yang dibenarkan di dalam gudang berlesen dan perlu membayar cukai yang ditetapkan serta tidak mematuhi syarat-syarat dalam lesen sepertimana peruntukan dalam Seksyen 65 (2) dan Seksyen 65 (5) Akta Kastam 1967.
“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967 iaitu pelanggaran syarat-syarat gudang berlesen” katanya pada satu sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) menerusi Op Kitai 2023 turut menyita 68 kenderaan yang dianggarkan bernilai RM13.89 juta di sekitar Pelabuhan Klang antara 9 hingga 24 Ogos lalu.
“Rampasan membabitkan 46 buah kenderaan mewah dan 22 buah motosikal pelbagai jenis dengan anggaran nilai rampasan adalah RM5.26 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan berjumlah RM8.64 juta.
“Pengimportan kenderaan dan motosikal adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri MITI sebagaimana yang digariskan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023”, katanya.
Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.