![](https://media.buletintv3.my/2022/10/fMk0mVlM-PP-CMS-qari-10.jpg)
PONTIAN: Seorang guru tuisyen wanita berusia 43 tahun mengalami kerugian besar sebanyak RM886,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abd Hamid Abdul Rahaman, berkata mangsa berkenalan dengan suspek melalui laman media sosial dan ditawarkan menyertai pelaburan menerusi aplikasi ‘trus wallet’ pada 21 September 2024.
“Akibat tertarik dengan janji keuntungan, mangsa membuat sebanyak 30 transaksi pembayaran ke akaun yang diberikan suspek, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM886,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila wang modal serta keuntungan yang dijanjikan tidak diterima sehingga kini.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga sepuluh tahun, sebatan, dan juga denda jika sabit kesalahan.
Polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, serta memastikan pelaburan dibuat melalui saluran sah yang diiktiraf.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.