comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guru rugi lebih RM250,000 diperdaya pegawai polis, insurans palsu

Foto hiasan

KULAI: Seorang guru mengalami kerugian lebih RM250,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis dan insurans menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian pada Februari lalu membabitkan wanita berusia 51 tahun berhubung tuntutan perubatan berjumlah RM68,800.

“Mangsa menafikan perkara itu ketika dihubungi dan mahu membuat laporan polis kerana maklumat dirinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, ketika panggilan telefon itu dilakukan, mangsa terus disambungkan kepada ibu pejabat polis dan bercakap dengan seorang penolong pegawai penyiasat.

“Pegawai penyiasat itu memberitahu mangsa mempunyai kes berkaitan penggubahan wang haram dan dadah serta perlu membuat rayuan kepada pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beng Yeow berkata, mangsa dikehendaki memberikan maklumat akaun dan perlu memindahkan wang di dalam akaun bank miliknya.

“Mangsa diberikan ikat jamin oleh pegawai penyiasat kes, namun perlu membayar wang sebanyak RM268,000. Mangsa kemudiannya bertindak membuat pinjaman sebanyak RM250,000 untuk tujuan pembayaran itu.

“Mangsa diberitahu wang itu akan dikembalikan selepas kes selesai. Bagaimanapun semalam, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menghubungi bank untuk menyemak baki akaun dan mendapati wang miliknya hanya tinggal RM140,” katanya.

Beng Yeow berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 11.27 pagi tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Segala urusan bank hendaklah dibuat di kaunter bank dan bukan melalui atas talian,” katanya lagi.

Loading...
Terkini