comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guru rugi hampir RM100,000 ditipu tawaran pekerjaan di platform e-dagang

 

 

Foto hiasan.

PEKAN: Seorang guru lelaki di daerah ini kerugian RM95,100 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan di platform e-dagang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 35 tahun menyertai kumpulan yang menawarkan kerja sambilan di aplikasi Telegram.

Katanya, mangsa kemudiannya menerima pesanan ringkas melalui Whatsapp melalui nombor telefon yang diberikan.

“Mangsa ditawarkan kerja sampingan melalui Whatsapp dengan menyertai pautan di aplikasi Telegram yang diberi oleh sindiket bermula pada 23 Disember lalu dan mendapat keuntungan semula selepas membuat pelaburan kali pertama.

“Seterusnya mangsa membuat beberapa tugasan dan transaksi dari tarikh 23 hingga 28 Disember lalu ke beberapa akaun berbeza dengan tujuan mendapatkan keuntungan seterusnya.

“Selepas melakukan semua transaksi terbabit, mangsa menyedari dirinya tertipu kerana masih tidak menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Mohd Zaidi menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dalam membuat keputusan atau menerima tawaran pekerjaan melalui dalam talian oleh mana-mana pihak.”

Langkah itu bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di platform e-dagang atau media sosial,” katanya.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini