comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guru pendidikan jasmani ditahan, amang seksual murid

HULU SELANGOR: Seorang guru lelaki ditahan semalam selepas disyaki mencabul beberapa murid lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini sejak seminggu lalu.

Difahamkan, kesemua mangsa berusia 12 tahun itu dicabul guru berkenaan ketika menyertai pertandingan bola sepak dan terpilih mewakili Hulu Selangor.

Bagaimanapun, perbuatan jijik guru lelaki berusia lingkungan 30-an itu terbongkar selepas ditahan polis di Bukit Beruntung, 1.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, polis sebelum itu menerima empat laporan berhubung kejadian itu pada 2.03 pagi hingga 10 pagi hari sama.

Beliau berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi berbeza, termasuk di bilik sebuah inap desa di Ulu Yam.

“Guru lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Ujian air kencing terhadapnya didapati negatif selain tiada rekod jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Susulan itu, Mohd Asri berkata, empat kertas siasatan dibuka terhadap suspek yang akan disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Menurutnya, lelaki itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 31 Julai bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini