comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guru ditipu pakej umrah, tuntut bayaran balik

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: 9 sekeluarga antara 38 mangsa yang tertipu angkara pakej umrah yang ditawarkan oleh seorang bekas guru besar sebuah sekolah di sini dua tahun lalu, menuntut agar wang mereka dikembalikan.

Mangsa Azlina Abdullah, 53, menjelaskan pakej itu ditawarkan melalui sebuah yayasan pada harga RM2990, dengan kos tambahan ditanggung melalui tajaan.

Azlina Abdullah, 53.

Pembayaran katanya dibuat mangsa melalui dua akaun berbeza, dengan perjalanan ke tanah suci dijadualkan pada tahun 2019.

Pakej umrah ditawarkan kepada guru dan ahli keluarga mereka di tempat bekas guru besar itu masih bertugas ketika itu.

Mangsa yang terlibat berusia lingkungan 10 hingga 73 tahun ketika pembayaran dibuat.

“Kami yakin dengan pakej yang ditawarkan ini selepas melihat kejayaan perjalanan pertama kumpulan umrah pada tahun 2018. Malangnya, perjalanan bagi pakej kami dibatalkan dengan alasan individu berkait yayasan itu tidak sihat dan tidak mampu menguruskan perjalanan kami.”

“Yayasan itu pula kemudiannya mengalami kerugian. Kami dijanjikan dengan bayaran balik kos yang telah kami lunaskan, selepas aset yayasan itu dijual pada Februari 2022. Namun, semua itu tinggal janji.”

Bekas guru besar yang menjadi penganjur pula bertindak lepas tangan selepas bersara tahun lalu, dan tidak lagi memberikan sebarang respon kepada pertanyaan mangsa.

“Ketika masih bertugas, beliau ada mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan mangsa dan menjanjikan penyelesaian bagi masalah kami ini. Namun, selepas bersara beliau tidak lagi memberikan sebarang maklumbalas kepada soalan yang dibangkitkan dalam group Whatsapp.”

Azham Abdullah, 41 pula terkilan kerana ada dikalangan mangsa yang telah meninggal dunia namun belum menerima bayaran balik pakej umrah yang dibatalkan itu.

“Harapan kami sekarang hanyalah mahu pembayaran balik dilakukan secepat mungkin. Anggaran wang yang tidak dipulangkan bagi keluarga saya lebih RM25,000.”

Laporan polis katanya sudah dibuat pada Januari 2022, selepas perjanjian penyelesaian tidak dipatuhi.

Loading...
Terkini