AMPANG JAYA: Guna van sekolah bagi mencuri motosikal. Itu taktik tiga lelaki termasuk pemandu bas sekolah dalam kegiatan curi kenderaan di hadapan Plaza Flamingo, Hulu Kelang, di sini.
Bagaimanapun perbuatan suspek berusia 50 hingga 61 tahun itu terbongkar selepas ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada jam 8 pagi 28 Januari lalu, mangsa lelaki berusia 42 tahun meletakkan motosikal Honda EX5 milik arwah bapa mentuanya di tempat letak kenderaan dalam keadaan baik.
Menurutnya, bagaimanapun pada jam 3.30 petang Ahad lalu, mangsa mendapati motosikal itu sudah tiada dan mengesyaki dicuri menyebabkan kerugian RM3,000.
“Susulan itu suspek yang bekerja pemandu bas sekolah di sekitar Lembah Klang ditahan kelmarin bersama van yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.
“Modus operandi ketiga-tiga suspek menggunakan van itu dengan cara mengangkat dan memasukkan motosikal ke dalamnya. Motif curi untuk diguna pakai oleh suspek kedua bagi kegunaan harian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripadanya positif dadah.
“Perintah tahanan reman ke semua suspek dibenarkan selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Ampang bermula semalam sehingga 7 Februari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.