comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guna pembesar suara, tuntut RM120,000

Tangkap layar video tular di media sosial. – Foto tular

KLUANG: Gara-gara tuntutan RM120,000 tidak dilayan, seorang individu mengupah ‘samseng’ untuk memalukan mangsa dan keluarganya.

Dalam kejadian 4.30 petang di Taman Gunung Lambak di sini pada Isnin lalu itu, ‘samseng’ yang bekerja di syarikat pengutip hutang itu bertindak menggunakan pembesar suara membuat bising dan memasang gegantung di hadapan rumah keluarga mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, berikutan itu, polis menangkap empat suspek yang juga di Jalan Tebrau, Johor Bahru, kira-kira 8 malam tadi.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa dan rakannya menjalankan perniagaan menjual penghawa dingin namun syarikat itu gulung tikar.

“Akibatnya, rakan perniagaan mangsa menuntut semula modal pelaburan yang dikeluarkan mereka sebanyak SGD20,000 (69,823.70) dan RM50,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua suspek berusia lingkungan 27 hingga 38 tahun dan semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi empat minit 42 saat di media sosial memaparkan tindakan sekumpulan lelaki membuat gangguan di rumah berkenaan hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini