JOHOR BAHRU: Satu sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi media sosial ditumpaskan polis susulan penahanan lapan suspek dalam beberapa serbuan di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, modus operandi sindiket turut menggunakan botol minuman berjenama terkenal yang diisi dengan dadah berbentuk cecair sebelum dipasarkan.
Jelasnya, lapan individu ditahan membabitkan lima lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing dalam empat serbuan antara jam 12 tengah hari, 25 Jun hingga jam 3.20 petang, 26 Jun lalu.
Beliau berkata, kesemua suspek termasuk dalang sindiket itu dan berusia antara 19 hingga 67 tahun itu ditahan bersama sejumlah dadah di beberapa rumah yang disewa mereka di sekitar daerah ini.
“Sindiket menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dan mereka yang ingin membeli akan menghubungi melalui aplikasi berkenaan sebelum melakukan urusan jual beli.
“Selain itu, mereka turut menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat pembungkusan dan stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Bagi tujuan penghantaran pula, sindiket akan meninggalkan dadah di sesuatu lokasi yang dipersetujui untuk diambil sendiri oleh pembeli,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Dalam semua serbuan itu, Kumar berkata, sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM926,644.72 dirampas selain dua kereta dan wang tunai berjumlah RM13,638 disita.
Katanya, dadah yang dirampas adalah 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.2 gram ketamin, 118 pil ekstasi, 100 biji pil erimin 5, 5.85 liter cecair ekstasi serta 8.3 gram ganja.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada suspek yang ditangkap positif dadah methamphetamine dan ketamin, manakala hasil semakan rekod lampau juga mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.
“Semua suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 2 Julai,” katanya.
Operasi masih diteruskan bagi mencari saki baki ahli sindiket berkenaan.
Pada masa sama, Kumar menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi media sosial terutamanya anak muda.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak ketika mereka melayari aplikasi media sosial, manakala orang dewasa diingatkan supaya menggunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.