Tumpuan :
Jenayah

Guna cek tendang beli jam Rolex, peniaga rugi RM140,000

Foto hiasan

BATU PAHAT: Peniaga kerugian RM140,000 apabila diperdaya individu yang membeli dua utas jam tangan miliknya yang berjenama Rolex menggunakan cek tendang, Isnin lalu.

Kejadian bermula apabila mangsa lelaki berusia 47 tahun mengiklankan jam tangan berjenama untuk dijual pada harga RM88,000 menerusi Facebook pada 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa kemudian menerima mesej melalui Facebook daripada seorang individu dipercayai lelaki.

Beliau berkata, perbualan antara mangsa dan suspek berlanjutan ke WhatsApps berkenaan hasratnya membeli jam tangan terbabit.

“Suspek menyatakan hasrat untuk membeli jam tangan terbabit dan mangsa kemudian menawarkan seutas lagi jam tangan berjenama untuk dijual pada harga RM52,000 kepada suspek.

“Suspek bersetuju untuk membeli kedua-dua jam tangan terbabit dengan keseluruhan bernilai RM140,000 dan bayaran akan buat ke dalam akaun mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pada 4 November lalu mangsa menerima mesej daripada suspek memberitahu bayaran sejumlah itu sudah dibuat menerusi mesin cek deposit.

“Mangsa membuat semakan dan mendapati jumlah dinyatakan ada dalam akaunnya. Suspek kemudian meminta mangsa menghantar jam tangan terbabit menerusi syarikat kurier.

“Pada keesokan hari, mangsa mendapati wang berjumlah RM140,000 dalam akaunnya sudah hilang dan cek yang digunakan suspek untuk membuat bayaran adalah cek tendang.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini