comscore
Tumpuan :
Jenayah

GRO ditahan bersama 273kg methamphetamine bernilai RM8.7 juta

FOTO: NSTP

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas methamphetamine cap ‘kod QR’ seberat 273 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM8.7 juta, awal bulan ini.

Rampasan dibuat susulan pemeriksaan yang dijalankan jam 10.45 pagi oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di tepi jalan dekat Bandar Puteri Puchong, Selangor itu.

Seorang wanita yang bekerja sebagai GRO turut ditahan dalam pemeriksaan itu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, dadah berkenaan dibawa dari utara sebelum dibawa wanita berusia 35 tahun berkenaan ke Lembah Klang.

FOTO: NSTP

“Dengan kerjasama Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM dan dibantu Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), kami menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan membabitkan rampasan dadah jenis Methamphetamine pada 5 Julai lalu.

“Pasukan menahan sebuah MPV jenis Hyundai Starex di Bandar Puteri Puchong. Hasil pemeriksaan ke atas MPV itu, pasukan menjumpai 13 guni yang didalamnya ada sebanyak 268 bungkusan yang berlabel teh herba Cina.

“Pemeriksaan ke atas bungkusan itu mendapati di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang berat kasarnya 273.7 kg dan dianggarkan bernilai RM8.7 juta,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan terbabit dalam aktiviti mengedar dadah yang diperoleh dari negara jiran dan dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat.

“Kami difahamkan wanita yang bekerja sebagai GRO di sebuah pusat hiburan menyewa MPV itu selama dua hari di utara dan menyembunyikan dadah di dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

FOTO: NSTP

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami masih lagi melakukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti dan mengesan ahli sindiket yang lain.

“Mengenai kod QR yang ada pada plastik Methamphetamine berkenaan, kami percaya ia dari geng tertentu kerana kami sudah cuba mengimbasnya namun tidak berfungsi,” katanya.

Ribuan berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan seramai lebih 1.3 juta individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini