KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati operasi rumah amal dikendalikan GISB Holdings (GISBH) dipromosikan sebagai rumah perlindungan anak yatim untuk dengan niat menipu bagi mendapatkan sumbangan dan derma orang ramai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan polis juga mendapati kanak-kanak di rumah-rumah amal itu didoktrinkan bahawa mereka ‘anak yatim’ dan tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
“Hasil rakam keterangan yang dibuat polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli.
“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis, mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) itu adalah anak mereka.
“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web (sesawang) sumbangan untuk ‘anak yatim’ walhal sebenarnya mereka adalah anak-anak ahli.
“Wang sumbangan dan derma yang diterima dari pihak luar digunakan untuk kegunaan lain. Ini adalah kesalahan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jadi lebih baik mereka tidak mengaku (kanak-kanak diselamatkan anak mereka) kerana tidak ada kesalahan itu.
“Ibu bapa dan kanak-kanak telah didoktrin ini (mereka adalah anak yatim) malah ada yang tidak kenal ibu bapa seolah-olah memang anak yatim,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, siasatan juga mendapati ada ahli GISBH yang berpoligami dengan beristeri empat mempunyai sehingga 34 anak.
“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak duduk dengan dia.
‘“Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama, tak ingat rupa anak,” katanya.
Terdahulu, Razarudin berkata PDRM Fasa 4 OP Global bermula kelmarin menyerbu 280 premis di semua negeri di Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISB.
Razarudin berkata sebanyak 59 premis berjaya diserbu manakala 221 premis pula didapati sudah dikosongkan dipercayai ditinggalkan selepas ahli GISBH dipercayai melarikan diri.
Selain itu, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditangkap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.