BENTONG: Polis berjaya menahan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Heri selepas menyamun warga Bangladesh dengan menyamar sebagai anggota polis dan membawa senjata dalam kejadian di kedai runcit di Bukit Tinggi.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berusia 40-an didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang mendakwa kononnya sebagai anggota polis mahu membuat pemeriksaan dan menggeledah premis tempatnya bekerja manakala beberapa individu lain dikatakan menunggu di luar.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian itu berlaku pada 1.45 pagi, 29 Oktober lalu dengan suspek bersenjatakan parang dan besi menyamun telefon bimbit serta wang tunai RM8,000.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya menahan lima lelaki berusia 27 hingga 34 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Setapak, Kuala Lumpur dan Gombak, Selangor pada 8 Disember lalu hingga kelmarin.
“Suspek menyamar sebagai polis membuat penggeledahan dan turut menggari mangsa sebelum menyamunnya.
“Wang berkenaan adalah hasil jualan premis dan nilai keseluruhan kerugian membabitkan RM9,500.
“Siastan awal mendapati mereka terbabit kes samun berkenaan dan turut terbabit kes memiliki senjata api. Kumpulan itu didalangi suspek berusia 30 tahun dan kegiatan itu dipercayai menyasarkan warga asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Yahaya berkata, pihaknya turut merampas tiga pistol membabitkan masing-masing jenis Pietro dan CZ 75D bersama kelopak dan sarung serta satu pistol angin bersama kelopak jenama Detonics 45 selain 62 peluru dalam dua bungkusan plastik berasingan.
“Turut dirampas plastik berisi bebola besi, tiga kerambit, pisau, kotak manik, sebuah motosikal Yamaha 135LC, enam telefon bimbit, tiga beg, satu ‘forklock’ motosikal, lampu suluh, pemutar skru, setin cat serta dua kain masing-masing satu t-shirt, jaket dan seluar.
“Dua pistol yang dirampas itu juga didapati diperoleh dari negara jiran pada 2022. Hasil semakan juga mendapati suspek terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala empat suspek didapati positif amphetamine,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 20 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Katanya, selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kumpulan itu dikenali sebagai ‘Peja’ atau Mohd Faizal Supriadi, 32.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Bentong, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.